Tampilkan postingan dengan label tahun. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label tahun. Tampilkan semua postingan

Selasa, 04 Maret 2014

Kanak kanak 8 tahun Uji senapang Patah tertembak sepupu

Sabtu, 15 Disember 2012

myMetro 

SRI AMAN: Sikap ingin tahu seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun untuk mencuba senapang patah milik bapanya yang disangkakan tidak berpeluru, mengundang padah apabila tertembak sepupunya berusia sembilan tahun dalam kejadian di Rumah Panjang Ngulu Empaling, Pantu, dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kanak-kanak berkenaan mengarahkan senjata api itu ke luar tingkap dan melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahu kiri mangsa kerana menyangkakan senapang berkenaan tidak berpeluru.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sri Aman, Asisten Superintendan Ang Tuan Teck berkata, berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak terbabit mengambil kunci yang disangkut di dinding sebelum masuk ke bilik bapanya untuk mencari raket badminton.
Katanya, ketika menyelongkar bilik berkenaan, kanak-kanak terbabit ternampak selaras senapang patah yang disandarkan di sebelah almari pakaian.

“Kerana ingin tahu, kanak-kanak itu mengambil senjata berkenaan dan mengacukannya ke luar tingkap dan kebetulan ketika itu sepupunya bermain di luar rumah.

“Difahamkan sepupu lelakinya itu melihat perbuatan kanak-kanak terbabit sebelum memetik picu kerana menyangkakan senapang itu tidak diisi peluru,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, malangnya senapang itu meletup sebaik picu ditekan menyebabkan peluru terkena bahu kiri mangsa sekali gus meraung kesakitan dan berlaku pendarahan teruk.

Difahamkan, ahli keluarga mangsa yang dikejutkan dengan kejadian itu segera membawanya ke Hospital Sri Aman untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) jam 7 malam kelmarin.

“Ketika ini mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan serpihan peluru yang masuk ke dalam bahu mangsa dikeluarkan. Difahamkan, mangsa dipindahkan ke wad biasa untuk menerima rawatan selanjutnya.

“Polis turut mengambil keterangan sepupu mangsa serta pemilik senjata api bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 37 (Akta Senjata 1960),” katanya.
Read More..

Rabu, 19 Februari 2014

Saya tahu GST 30 tahun dulu!


Ada orang bertanya saya tentang Bajet 2014 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu. Bukan pakar ekonomi, tidak juga ahli politik, sebagai orang biasa, ada yang amat mudah difahami, iaitu gula. Ada pula yang kabur, GST.

Mengenai pemansuhan subsidi gula, orang kampung pun boleh faham. Mudah cakap, apabila subsidi 34 sen ditarik kita akan membeli bahan pemanis itu pada harga yang lebih tinggi. Apabila harga tinggi semua yang berkaitan dengan gula akan naik harga.

Sudah dijangka teh tarik – minuman wajib sebahagian besar rakyat – juga minuman manis lain, akan naik harga. Akan lebih mahal juga ialah beraneka kuih-muih manis, termasuk apam balik dan apam-apam lain. Peniaga nanti akan berkata: “Apam naik sebab gula naik.”

Maka tidak menghairankan apabila orang ramai, yang suka bermanis-manis, kini berwalang durja. Orang Kelantan dan Terengganu berduka nestapa memikirkan ‘akok’, ‘nekbat’, lompat tikam, tepung pelita, puteri mandi, buah tanjung, jala emas, hatta ‘taik itik’. Semuanya akan senasib apam, naik harga.

Tetapi Perdana Menteri ada alasan logik: kerajaan dapat menyelamatkan RM521 juta setahun. Katanya: “Kita hapuskan subsidi gula, sebab itu membazir. Hakikatnya, 2.6 juta rakyat kita menghidap diabetes. Kalau menderita diabetes, mata kadang-kadang rabun, nak kena gunakan mesin dialisis dan lebih teruk, kaki terpaksa dipotong.”

Gula juga salah satu penyebab obesiti yang kini menjadi ancaman terbesar orang kita. Kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, setakat ini 8.5 juta penduduk Malaysia bermasalah berat badan, dengan 4.4 juta orang obes. “Ini berlaku kerana pengambilan makanan berlebihan, dan diburukkan lagi dengan kecenderungan kepada makanan manis.”

Senang cakap berpada-padalah bergula-gula. Kurangkan manis dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman. Tetapi seorang teman saya dari Terengganu merengus: “Guane nok senyung bila harga gula macang ker bedil!” atau bahasa bakunya: macam mana hendak senyum jika harga gula terlalu mahal.

Mengenai cukai barangan dan perkhidmatan @ ‘goods & services tax’ @ GST, orang ekonomi dan pakar percukaian mudah faham. Orang biasa ada yang faham, ada yang faham sikit, ada juga yang hanya tahu menyebut tetapi tidak faham langsung.

Orang Sungai Limau mungkin tidak berapa faham, tetapi GST telah dijadikan antara bahan kempen untuk pilihan raya kecil 4 November ini. Kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin: “Penduduk Sungai Limau tidak perlu bimbang dengan GST, kerana
sebahagian besar daripada mereka tidak terlibat. Majoriti penduduk di sini adalah nelayan dan petani, tidak akan merasai kesan langsung GST.”

Mulai April tahun depan GST akan dikuatkuasakan pada kadar 6 peratus. Menurut kerajaan kadar itu adalah yang terendah berbanding negara lain. Biasalah kita selalu ‘terendah’, ‘terbesar’, ‘tertinggi’, ‘tercantik’, ‘tersasul’ dan akhirnya ‘tertipu’.

Orang ramai yang tidak faham atau separuh faham, boleh keliru dengan bermacam komen mengenainya. Pembangkang kata ini membebankan rakyat, tinjauannya nanti akan disonglap dan lebih menguntungkan pemimpin-pemimpin korup. Bla, bla, bla, banyak lagi hujahnya.

Kerajaan pula kata, ini baik untuk negara, mengelakkan cukai berganda, berupaya mencegah ketirisan, kaedah percukaian yang lebih adil, boleh meningkatkan pertumbuhan pasaran saham, bla, bla, bla.

Pembangkang ada fakta, kerajaan pun ada fakta. Mana yang betul? Bukanlah hendak cakap sombong, tetapi secara peribadi saya sudah biasa dengan GST. Malah saya boleh mendabik dada kerana mendahului para bijak pandai, pakar ekonomi, juga Perdana Menteri, dalam
hal ini. Saya tidak ada masalah sedikit pun dengan isu ini.

GST tidak sedikit pun menyusahkan, malah lebih banyak membantu. Dengannya kehidupan menjadi lebih mudah, sinergi dan komunikasi dapat disemarakkan. Malah, dengannya kami berjaya menganjurkan berbagai kegiatan amal – termasuk pertemuan alumni sekolah dan universiti – setiap tahun.

Saya mula bersama GST sejak tiga dekad lalu apabila berkahwin dengan orang pantai timur. Bukan ‘goods & services tax’, GST yang saya maksudkan ialah ‘Geng Satu Terengganu’, iaitu sekumpulan orang Terengganu di KL yang saling bertemu di Sogo, kemudian menikmati ‘ikang singgang’ restoran pantai timur di Pantai Dalam.
Read More..